Perbincangan tentang pemikiran Imam Al-Qardawi dan ulasan terhadap pemikirannya.
Friday, 24 August 2012
Penjelasan perlaksanaan Hudud
Hudud di antara perlaksanaan dan penangguhan: Perbahasan Fikhi
Timbul perbezaan pendapat di antara Tuan guru Nik Aziz dan Dr Asri di antara perlaksanaan hudud dan penangguhannya. Maka rasa terpanggil untuk membincangkan isu berdasarkan pengalaman pengajian dengan ulama-ulama serta pembacaan yang banyak tentang perlaksanaan hudud agar mampu memberi sedikit pencerahan kepada umat Islam.
Sesungguhnya akidah umat Islam menuntut orang Islam menerima segala arahan dan Syariah Allah Taala. Mana mungkin seseorang yang mengucap kalimah syahadah menolak Syariatnya.
Maka secara sepakat umat islam tidak menolak sebarang undang-undang dan Syariah secara akidah tetapi secara perlaksanaan ia bergantung keadaan dan syarat seperti kemampuan .
Khususnya seperti undang-undang Hudud, ia adalah undang-undang yang agak asing bagi umat Islam dan orang bukan Islam dibolehkan oleh ulama berlaku penangguhan dahulu. Ini dinyatakan oleh Ibnu al Qayyim yang menyatakan hukum-hukum yang dianggap asing perlu diberi penerangan dahulu sebelum perlaksanaan. Ini kerana bimbang ditolak dan dikutuk oleh orang Islam itu sendiri dan akan menyebabkan berlaku fitnah.
Berlaku fitnah di antara faktor yang boleh menyebabkan penangguham hudud. Nabi menangguhkan hukuman hudud ke atas pencuri diwaktu peperangan kerana bimbang dia akan lari kekumpulan kafir. Maka di zaman fitnah dari luar dan dalam di zaman ini bagi saya boleh dijadikan faktor hudud ditangguhkan dahulu dan di adakan berperingkat-peringkat dengan kerjasama semua pihak. Dan di dalam hudud ini ia adalah bidang kuasa kerajaan dan kerajaan perlu mengkaji secara telus dengan bantuan para ulama yang jujur dengan Allah sejauhmana perlu melaksanakan undang-undang hudud diwaktu sekarang.
Kita tidak mahu melaksanakan hukuman hudud dalam keadaan tidak sempurna maka ia akan menzalimi Islam dan Syariat.
Kita amat berhajat kepada perlaksanaan yang tepat daripada manhaj perlaksanaan, seperti tidak terikat dengan 4 mazhab sahaja,perlu kepada menggunakan semua mazhab yang ada, hampir kepada 80 mazhab dan kadang-kadang berhajat kepada ijtihad yang baru. Kita mendahulukan hudud yang disepakati daripada hudud yang terdapat khilaf seperti rotan kepada penzina, qazaf,mencuri dan rompakan. Adapun murtad, minum arak adalah perkara khilaf di kalangan fuqaha.
Seminar-seminar,pengajian-pengajian tentang hudud perlu diadakan dengan lebih aktif, buku-buku perlu ditulis dengan lebih luas.
Faedah: Hudud bukan satu-satunya jalan penyelesaian.
Sebagai maklumat penting,Islam tidak menjadikan hudud sebagai bukan penyelesaian yang paling utama di dalam menyelesaiakan masalah jenayah, di sana terdapat terbiyah dan konsep taubat yang membolehkan seseorang berubah. Begitu juga dengan memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat ia boleh mengurangkan kadanr kes jenayah. Hudud adalah jalan yang terakhir untuk merawat penyakit masyarakat sebab itu ia hanya sedikit disebut di dalam al Quran tetapi bukan ia tidak penting Cuma kepada fikh keutamaan di dalam melaksanakan sebarang Syariat.
Maka kesimpulan yang dapat saya katakan di sini, semua orang Islam wajib beriman dengan hukuman hudud, Cuma perlaksanaan ia bergantung kepada keadaan, dan ia merupakan kuasa kerajaan, sekiranya kerajaan melihat, hudud perlu ditangguhkan kerana faktor-faktor syarie maka itu merupakan satu bidang kuasa mereka bukan kerana faktor malas atau mengingkari, itu tidak dibolehkan. Maka kita menyeru semua pihak agar berlapang dada dan mebincangkannya secara positif dan kerjasama yang kuat tanpa menggunakan untuk tarikan politik.
Subscribe to:
Posts (Atom)